-
AMALAN YANG DIANGGAP SUNNAH PADA BULAN REJAB
Rejab secara bahasa bermaksud mengagungkan atau memuliakan. Bulan Rejab merupakan bulan yang ke tujuh dalam kalendar hijrah. Ia dinamakan Rejab kerana orang-orang Arab pada zaman jahiliah memuliakan bulan ini lantas mengharamkan apa jua bentuk peperangan pada bulan ini. Di antara kabilah Arab yang ekstrem dalam mengagungkan bulan Rejab ini adalah bani Mudhar.Di dalam kalendar umat Islam terdapat dua belas bulan yang mana Allah S.W.T. telah memuliakan empat bulan darinya. Firman-Nya:
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. – al-Tawbah (9) : 36
Imam al-Qurthubi berpendapat tafsiran “maka janganlah kamu menganiaya diri kamu” di dalam ayat di atas bermaksud jangan seseorang itu menjadikan apa yang diharamkan pada bulan ini halal dan janganlah mengharamkan apa yang halal.Jika firman-Nya di atas hanya menunjukkan terdapat empat bulan yang dihormati dalam setahun maka sabda Nabi s.a.w. ini memperincikan lagi tentang nama bulan-bulan tersebut:
Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu bulan-bulan Dzulqaedah, Dzulhijjah dan Muharram. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Sya’ban. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 4662
Ternyata bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang telah dimuliakan oleh Allah S.W.T.. Justeru itu telah tersebar dalam masyarkat kita behawa terdapat amalan-amalan yang dikhaskan sempena bulan Rejab ini dan ianya memiliki fadilat-fadilat yang besar. Namun begitu pada hakikatnya tidak wujud satu dalil yang sah menunjukkan terdapat amal-amal ibadah yang tertentu bersempena dengan bulan Rejab. Hal ini telah diperakui oleh tokoh ulamak hadis bermazhab Syafie iaitu al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani r.h dalam kitabnya Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab yang mana menurut beliau tidak ada hadis yang sahih tentang keutamaan bulan Rejab (melainkan ia termasuk bulan-bulan haram), puasa Rejab dan solat malam pada bulan Rejab yang dapat dijadikan pegangan. – Rujuk Muhammad ‘Abdussalam al-Syaqiry, As-Sunan wa al-Mubtada’aat al-Muta’alliqah bi al-Adzkaar wa ash-Shalawaat, (edisi terjemahan dengan tajuk Bidaah Bidaah Yang Dianggap Sunnah, Qisthi Press, Jakarta, 2004) ms. 152.Adalah masyhur di sisi masyarkat kita bahawa disunatkan untuk berpuasa pada 1hb Rejab, hari Khamis minggu pertama bulan Rejab, Nisfu Rejab dan 27hb Rejab sempena Israk Mikraj. Untuk menguatkan hujah puasa-puasa sunat ini maka diketengahkan beberapa riwayat-riwayat palsu serta lemah bersertakan ganjaran pahala yang besar. Menurut Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah r.h di dalam Majmu’ Fatawa:
Adapun puasa bulan Rejab secara khusus disandarkan kepada hadis-hadis yang kesemuanya dha’if (lemah) bahkan maudhu’ (palsu) yang tidak dijadikan sebagai hujah oleh ahli ilmu dan bukan pula termasuk hadis dha’if yang dikategorikan dalam amalan-amalan mulia tetapi hadis-hadis dha’if yang masuk dalam kategori hadis dusta. - Dinukil dari kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya ‘Abdullah bin Abdul Aziz al-Tuwaijiry (edisi terjemahan dengan tajuk Ritual Bidaah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta 2003), ms. 243-244.
Ibnu Rajab di dalam al-Mughni pula berkata:
Mengenai keutamaan puasa khusus pada bulan Rejab, tidak ada satupun hadis sahih yang diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. mahupun para sahabat. - Dinukil dari kitab al-Bida’ al-Hauliyyah, ms. 245.Syaikh Sayyid Sabiq r.h pula berkata:
Mengenai puasa pada bulan Rejab, tiada kelebihan yang menonjol baginya berbanding bulan-bulan lain melainkan ia termasuk bulan-bulan suci. Dan tidak diterima dari sunnah keterangan yang sah bahawa berpuasa pada bulan itu mempunyai keistimewaan khusus. Ada juga diterima riwayat (tentang keutamaan berpuasa pada bulan Rejab), tetapi tidak dipertanggung-jawabkan sebagai hujah – Sayyid Sabiq, Fiqhu as-Sunnah (edisi terjemahan dengan tajuk Fikih Sunnah, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990), jilid 3, ms. 205.
Sungguhpun begitu apa yang ditemui adalah riwayat daripada para sahabat Nabi yang melarang puasa pada bulan Rejab.Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan daripada Kharsyah bin Hurr yang berkata:
Saya melihat ‘Umar r.a membuat makanan untuk manusia pada bulan Rejab hingga mereka meletakkanya di dalam mangkuk besar. ‘Umar berkata: Makanlah, kerana ini adalah bulan yang diagungkan oleh orang-orang jahiliyah. – Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah dalam Mushannif, jilid 3, ms. 102
Malah Saidina ‘Umar juga dikatakan telah memukul tangan mereka yang berpuasa pada bulan Rejab.
Daripada Atha’, dia berkata: “Ibnu ‘Abbas melarang puasa pada bulan Rejab seluruhnya, agar tidak dijadikannya sebagai hari besar (hari raya). – Hadis riwayat Abdurrazaq dalam Mushannif, no: 7854.Selain dari itu terdapat juga di kalangan masrakat kita yang mengamalkan berpuasa berterusan selama tiga bulan iaitu pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan. Amalan ini juga sebenarnya tidak memiliki sebarang dalil yang sah. Imam Ibnul Qayyim r.h berkata:Rasulullah tidak berpuasa pada tiga bulan tersebut secara terus menerus seperti yang dilakukan sebahagian orang dan baginda sama sekali tidak berpuasa pada bulan Rejab dan baginda pun tidak menggalakkan berpuasa pada bulan Rejab. Bahkan diriwayatkan daripada baginda bahawa baginda melarang berpuasa pada bulan Rejab seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah. – Rujuk Muhammad ‘Abdussalam al-Syaqiry, As-Sunan wa al-Mubtada’aat al-Muta’alliqah bi al-Adzkaar wa ash-Shalawaat, ms. 152.
Meskipun begitu sekiranya seseorang itu berpuasa pada bulan Rejab tanpa niat mengagungkan bulan tersebut sebagaimana golongan jahiliah dan tidak menyakini fadilat-fadilat palsu yang dikaitkan dengan puasa pada bulan Rejab tersebut atau dia hanya berpuasa bertepatan dengan hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti puasa hari Isnin dan Khamis, puasa Ayyam al-Bidh (puasa pada tarikh 13,14 dan 15 setiap bulan) atau Puasa Nabi Daud (puasa selang sehari) dalam bulan Rejab, maka puasa sebegini dibenarkan oleh syarak.Berikut adalah contoh artikel tentang kelebihan bulan Rejab yang telah dirujuk kepada Ustaz Hj Wan Basiron dan ulasan beliau seperti yang diwarnakan(merah).
Diriwayatkan bahwa Rasulullah saw telah bersabda, "Ketahuilah bahwa bln Rejab itu adalah bulan ALLAH swt, maka:...”(Dhoif’)
1. Barang siapa yang berpuasa 1 hari dalam bulan ini dengan ikhlas, maka pasti ia mendapat keredhaan yang besar dari ALLAH swt .
Apa saja amalan jika dibuat dengan penuh keikhlasan, akan mendapat ganjaran yang besar drp Allah. Tak kira dibuat dlm bulan Rejab atau apa2 bulan.
2. Dan barang siapa berpuasa pada tanggal 27 Rejab 1428/Isra Mi'raj (Sabtu, 30 Ogos 2008) akan mendapat pahala seperti 5 tahun berpuasa
3. Barang siapa yang berpuasa 2 hari di bulan Rejab akan mendapat kemuliaan di sisi ALLAH swt
4. Barang siapa yang berpuasa 3 hari yaitu pada tanggal 1, 2, dan 3 Rejab (4,5,6 Julai 2008) maka ALLAH swt akan memberikan pahala seperti 900 tahun berpuasa dan menyelamatkannya dari bahaya dunia dan seksa akhirat
5. Barang siapa berpuasa 5 hari dalam bulan ini, insyaallah permintaannya akan dimakbulkan Allah swt..InsyaAllah
Bekas Ketua Lujnah Fatwa Al-Azhar mengatakan bahawa setiap fadilat sesuatu perkara itu harus dilihat dari segi nas yg sahih dan beliau melihat bahawa hadis-hadis yg didatangkan mengenai fadilat didalam bulan Rejab kebanyakkannya adalah lemah dan palsu.
Berkata Al-Saqr lagi bahawa: "Amalan soleh didalam bulan Rejab adalah sebagaimana ganjarannya didalam bulan-bulan Haram, yg didalamnya terdapat puasa, SAMA sahaja [berpuasa] hari pertama atau pun hari akhir.
Berkata Ibnu Hajar : 'Sesungguhnya bagi bulan Rejab tidak terdapatnya hadis mengenai fadilat khas berpuasa, tidak terdapat yg Sahih atau Hasan'. "
6. Barang siapa berpuasa 7 hari dalam bulan ini, maka ditutupkan 7 pintu neraka Jahanam dan barang siapa berpuasa delapan hari maka akan dibukakan 8 pintu syurga (Maudhu’)
7. Barang siapa berpuasa 15 hari dalam bulan ini, maka ALLAH swt akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan menggantikan kesemua kejahatannya dengan kebaikan, dan barang siapa yang menambah (hari-hari puasa) maka ALLAH swt akan menambahkan pahalanya."(Maudhu)
Sabda Rasulullah saw lagi :"Pada malam Mi'raj, saya melihat sebuah sungai yang airnya lebih manis dari madu, lebih sejuk dari air batu dan lebih harum dari minyak wangi, lalu saya bertanya pada Jibril as "Wahai Jibril untuk siapakah sungai ini?" Maka berkata Jibrilb as "Ya Muhammad sungai ini adalah untuk orang yang membaca selawat untuk engkau dibulan Rejab ini."(Maudhu)Dalam sebuah riwayat Tsauban bercerita :"Ketika kami berjalan bersama-sama Rasulullah saw ke sebuah kubur, lalu Rasulullah saw berhenti dan beliau menangis dengan amat sedih, kemudian beliau berdoa kepada ALLAH swt. Lalu saya bertanya kepada beliau "Ya Rasulullah, mengapakah engkau menangis?" Lalu beliau bersabda "Wahai Tsauban, mereka itu sedang diseksa dalam kuburnya dan saya berdoa kepada ALLAH swt, lalu ALLAH swt meringankan atas mereka."
(Yang ini betul, tetapi dua perenggan di bawah tiada asas mengenainya (Dhoif/palsu) - kisah nabi saw memacak pelepah tamar di atas kubur!!
"Wahai Tsauban, kalaulah sekiranya mereka ini mahu berpuasa satu hari dan beribadah satu malam saja di bulan Rejab nescaya mereka tidak akan disiksa di dalam kubur." Tsauban bertanya "Ya Rasulullah, apakah hanya berpuasa satu hari dan beribadah satu malam dalam bulan Rejab sudah dapat mengelakkan dari seksa kubur?"
"Wahai Tsauban, demi ALLAH Zat yang telah mengutus saya sebagai nabi, tiada seorang muslim lelaki dan perempuan yang berpuasa satu hari dan mengerjakan solat malam sekali dalam bulan Rejab dengan niat karena ALLAH swt, kecuali ALLAH swt mencatatkan baginya seperti berpuasa satu tahun dan mengerjakan solat malam satu tahun."
Petikan :
http://zul878.multiply.com/journal/item/17/Hadis-hadis_Maudhu_tentang_kelebihan_Bulan_Rejab
http://akob73.blogspot.com/2008/06/artikel-tentang-bulan-rejab.html
0 komen: