-
Edisi Timur: 'Puteri' ganggu 16 pelajar - (HARIAN METRO)
Terkini Rabu, 24 Mei 2006
SETIU: Sekumpulan 16 pelajar lemah dan lesu selepas mengalami histeria ketika berlatih tarian Ulik Mayang di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Chalok (Model Khas), di sini.Kejadian Jumaat lalu yang masih berlarutan sehingga semalam, memaksa pentadbiran sekolah menangguhkan peperiksaan semester yang bermula minggu lalu dan sepatutnya berakhir Khamis ini.
Harian Metro difahamkan, anak perempuan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhatar Abdullah, Fardiah, 17, turut menjadi mangsa kejadian itu tetapi dikatakan sudah stabil.
Fardiah dikatakan dirasuk seorang daripada tujuh puteri yang merasuk enam pelajar lain ketika melakonkan watak puteri Ulik Mayang.
Pelajar, Nor Azreen Alias, 17, berkata sebelum kejadian, beberapa pelajar menjalani latihan Ulik Mayang kendalian pelajar lain secara perperingkat iaitu selepas solat Asar dan Isyak, sejak dua minggu lalu.
“Saya dan rakan melatih pelajar lain untuk pertandingan peringkat asrama di dewan sekolah sebelum bertanding peringkat sekolah.
“Ketika berlatih tidak ada apa-apa berlaku sehinggalah malam 19 Mei lalu apabila seorang pelajar tingkatan enam menjerit dan meronta ketika membuka pintu almari asrama.
“Tidak lama kemudian, 15 pelajar lain menjerit dan meracau sambil meminta dilepaskan ketika dipegang beramai-ramai,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.
Menurutnya, murid yang turut mendiami asrama itu juga histeria dan kejadian itu berlarutan sehingga tengah malam.
0 komen: