-
Imarahkan masjid bentuk umat cemerlang
KEPALA BATAS 24 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menyeru umat Islam sentiasa mengimarah serta memelihara keindahan dan kebersihan masjid bagi membentuk masyarakat cemerlang.
Katanya, selain tempat untuk beribadat, masjid juga perlu digunakan untuk program kemasyarakatan seperti pendidikan, ceramah, mesyuarat serta perbincangan mengenai isu masyarakat.
``Masjid perlu kita muliakan dengan memastikan ia diuruskan dengan kemas dan bersih dari segi dalaman serta luaran supaya ia sentiasa selesa digunakan untuk masyarakat,'' katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Masjid Jamek Al-Hidayah di Kuala Muda, di sini hari ini.
Masjid yang dibina pada Ogos 2003 dengan kos sebanyak RM2 juta siap pada 16 Februari tahun lepas. Kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM1.45 juta manakala Jabatan Agama Islam Pulau Pinang menyumbangkan sebanyak RM500,000 dan ahli jemaah kariah itu menyumbangkan sebanyak RM50,000. Perdana Menteri berkata, masjid yang diuruskan dengan baik akan dapat membantu menyatupadukan masyarakat serta mewujudkan suasana tenang dan tenteram sewaktu beribadat.
``Dengan cara itu, fikiran kita akan menjadi tenang untuk beriktikaf atau berwirid dan dengan fikiran yang tidak terganggu mungkin akan terlintas dalam hati kita apa-apa (idea) yang boleh membantu kita atau masyarakat,'' katanya. Abdullah menarik perhatian, beliau melawat banyak masjid di luar negara yang diuruskan dengan begitu baik sehingga menampakkan keindahan Islam dan menimbulkan keseronokan untuk berada di dalamnya serta membangkitkan rasa khusyuk ketika beribadat.
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg~~MENGIMARAH MASJID, MEMARTABATKAN KESYUMULAN ISLAM~~
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komen: